Wednesday, 12 October 2011

Kubu Di Persisiran Pantai Bachok, Kelantan

Keadaan Kubu di Kampung Pulau Belongan.


1. Kubu Di Kampung Pulau Belongan:


Kubu di kampung ini berada di persisiran pantai yang berhampiran dengan bandar Bachok. Keadaan kubu ini sekarang diliputi pasir pantai dan kini kubu ini mengalami sedikit kemusnahan kerana telah di hempap oleh batu-batu besar yang seberat lebih daripada 1 tan. Batu-batu itu diletakkan di persisiran pantai yang berhampiran dengan Kubu British di kampung ini. Ini kerana, ia bertujuan untuk dijadikan benteng pertahanan moden di persisiran pantai bagi mengelak daripada terus menjadi mangsa pukulan ombak.



Struktur Kubu dari jarak dekat kelihatan sudah mengalami kerosakan kerana di hempap batu yang berat melebihi 1 tan, di samping itu ia juga disebabkan oleh faktor alam iaitu hakisan pantai.

Kubu yang makin tertimbus dek pasir pantai, kini kelihatan sebahagian daripadanya sahaja.

Kawan-kawan penulis bersama dengan dua beradik (anak penduduk Kampung Pulau Belongan) yang sudi menunjukkan kami tempat dua buah kubu di Kampung Pulau Belongan dan Kampung Kuala Nipah.



Kubu di Kampung Kuala Nipah.


2. Kubu Kampung Kuala Nipah:


Kubu di Kampung Kuala Nipah berada tidak jauh dari Kubu di Pulau Belongan, jaraknya lebih kurang 2 kilometer di antara satu sama lain. Pintu masuk kubu ini mengadap ke arah darat, manakala mukanya mengadap ke arah laut. Keadaan kubu ini masih kelihatan elok namun, kedudukan kubu kini berubah daripada keadaan asal kerana disebabkan oleh air pasang surut serta hentakan ombak bila tiba musim tengkujuh.



Keadaan Kubu di Kampung Kuala Nipah sudah tidak stabil dari segi kedudukannya kerana disebabkan oleh pemendapan tanah di tanah berpasir seperti tepi pantai ini.

Muka depan Kubu di Kuala Nipah yang kelihatan sedikit condong ke hadapan mengadap ke arah Laut China Selatan.



























Sunday, 9 October 2011

Kubu lambang pertahanan di persisiran pantai, Bachok, Kelantan.

Kubu British di Pantai Melawi, Bachok, Kelantan.

Kubu-kubu yang terdapat di Kelantan telah dibina sebelum berlakunya peperangan dunia kedua. Terdapat lebih kurang dua belas buah kubu di persisiran pantai Bachok, Kelantan. kedudukan kubu-kubu yang terdapat di kawasan pantai Bachok berbeza dengan tempat-tempat lain. Ini kerana ianya tersusun dengan jarak yang tidak begitu jauh jaraknya, lebih kurang 1 1/2 km antara satu sama lain. Pihak British telah mengandaikan bahawa kawasan tersebut yang akan menjadi tumpuan utama pihak musuh bila mereka hendak melakukan serangan, memandangkan kawasan itu hampir dengan Laut China Selatan.

Namun jangkaan itu telah meleset sama sekali, dan strategi yang telah dibuat oleh pihak Jepun berjaya di lumpuhkan oleh pihak Jepun semasa mereka melancarkan serangan melalui kawasan Pantai Kuala Pak Amat, Pantai Sabak dan Pantai Badang yang berhampiran dengan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Menurut keterangan seorang pegawai tentera Malaysia dalam buku Warisan Kelantan XIV, tajuk Kubu Kebal British di Kelantan, karya Salleh Mohd Akib, muka surat 26, perenggan ketiga, baris keempat belas memberitahu bahawa tiap-tiap buah kubu itu biasanya ditempatkan satu pasukan yang mengandungi antara 5 - 10 orang askar. Askar-askar itu dilengkapkan dengan senjata-senjata api seperti mesin-gan ringan atau mesin-gan berat yang dikendalikan oleh dua atau tiga orang askar yang berkawal di dalamnya. Di situ juga dibekalkan dengan senjata-senjata seperti senapang jenis MK-4 atau MK-5.

Kubu-kubu ini juga bertujuan sebagai pos pemerhatian di kawasan sekeliling di samping memerhatikan pergerakan musuh dari jarak jauh selain ia menjadi tempat pertahanan daripada serangan musuh.